Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi
bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas
setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada
pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan
penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan
masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum
yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya
umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana
perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.
Apa yang
menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut
‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang
terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis
dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan
“Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing,
kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain,
dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.
Persoalannya
ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep
kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya
mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh
mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia.
Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu
dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah
Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang
menjadi asas kepada amalan mereka.
Apa yang perlu difahami ialah,
adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah
mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang
sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu
memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak
tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh
menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan
penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu
difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata
dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa
pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang
sebenar inilah.
Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau
pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut
Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran
menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan
menulis perkataan Allah.
Firman Allah bermaksud:
Dan
sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang
musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang
memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah
tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak
dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan
mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)
Firman Allah bermaksud:
Dan
sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang
musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia
hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu
mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad):
"Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang
demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan
pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)
Firman Allah bermaksud:
Dan
sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang
musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu
mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad):
"Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang
demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak
mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)
Firman Allah bermaksud:
Dan
demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka
(yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah
tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau
demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari
Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya,
dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika
Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya
itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan
memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu
berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)
Firman Allah bermaksud:
Dan
demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka
(yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah
tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)
Firman Allah bermaksud:
Dan
demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka:
"Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab:
"Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari
menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)
Ayat-ayat
tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang
menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah
mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan
ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak
menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang
sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup
seluruhnya.
Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila
mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama
ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa
masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut
kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.
Umat
Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk
mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya
kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang
lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian
dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan
Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah
perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.
Mengikut
ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang
banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).
Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).
“Perkataan
Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu
dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa
sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia
Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya.
Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al
kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila
diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali
dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang
beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab
bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh
dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.
Al-Quran
mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith
Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan
dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang
mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan
berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang
percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada
Allah adalah tidak tepat.
Apabila Rasulullah SAW menghantar surat
kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat
perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar
kepada Allah yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami
dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita
tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian
dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan
orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah".
Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya)
maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya
kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)
Perutusan
Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan
Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah,
seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran
tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu
melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada
Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli
agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta
undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah
menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan
kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau
memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan
dosa yang menjadi hak Allah sahaja.
Kesimpulannya, kita tidak
boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka
sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud
dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan
perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan
agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah
sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam,
tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan
perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan
makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai
kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.
Imam
Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang
benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:
(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).
Kalimah
Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan
Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah
masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat
Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang
berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk
mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah.
Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk
yang ada dalam negara kita.
Al-Quran juga memerintah penganutnya
supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga
menyebabkan mereka mencaci Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
Dan
janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari
Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas
dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada
pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada
Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka
apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)
Demikianlah
keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan
yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
7 Januari 2010
26 December 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment